Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada semua pihak untuk merealisasikan projek pemuliharaan dan pemindahan Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini. Kami menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada daripada segi wang ringgit, material binaan, mahupun tenaga kepakaran yang bersesuaian. Namun, kami benar-benar mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang ringgit untuk menampung kos pemindahan, pembinaan dan pembaikan semula struktur binaan.

Secara umumnya, penglibatan semua pihak, termasuklah pihak ATSA Architects sendiri adalah secara sukarela dan ikhlas tanpa melibatkan sebarang keuntungan demi memartabatkan warisan seni bina tempatan. Untuk itu, bagi setiap sumbangan wang ringgit, berikut merupakan antara tawaran faedah yang boleh kami tawarkan, namun sebagai umat Islam, sesungguhnya tiadalah manfaat yang lebih baik melainkan ganjaran pahala dan reda daripada Allah S.W.T. Ini adalah bertepatan dengan dalil-dalil seperti berikut:  

Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud:

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah At-Taubah: 18)

Nabi  Muhammad S.A.W. turut bersabda, yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membangun masjid, maka Allah akan bangunkan baginya seumpamanya di syurga.” (Hadith Riwayat Bukhari 450 dan Muslim 533 dari Hadith Uthman R.A.)

Diriwayatkan Ibnu Majah 738 dari Jabir bin Abdullah R.A. sesungguhnya Rasulullah S.A.W. turut bersabda dengan mafhumnya:
“Barangsiapa membangun masjid kerana Allah sebesar sarang burung atau lebih kecil. Maka Allah akan bangunkan baginya rumah di syurga.” (Disahihkan oleh Al-Albany)


Berikut merupakan tawaran faedah yang ditawarkan bagi setiap penyumbang:

1) Nama organisasi / syarikat penyumbang akan diabadikan pada sebuah plak khas di tapak surau baru.

2) Kredit penghargaan dalam sebuah penerbitan buku khas sempena pembinaan surau ini.


  • 3) Tentunya, surau yang berusia 105 tahun ini akan menjadi antara bangunan warisan seni bina Melayu yang terdapat di bandar raya Ipoh yang akan menjadi daya tarikan pelancongan dan pusat tumpuan para pelajar, arkitek, pengkaji sejarah / budaya dan masyarakat umumnya.

    4) Malah, projek ini lebih signifikan melalui usaha ATSA Architects untuk mendapatkan status bangunan warisan daripada Jabatan Warisan Negara dan juga pengiktirafan daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di peringkat Malaysia dan seterusnya daripada badan dunia seperti Anugerah Seni Bina Aga Khan oleh Rangkaian Pembangunan Aga Khan (AKDN) dan Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).