Dalam usaha mengejar pembangunan negara, sebagai sebuah negara dan masyarakat yang kaya dengan adat budaya dan warisan, adalah penting bagi semua pihak di Malaysia melakukan usaha menyeluruh untuk memulihara and menjaga peninggalan bangunan warisan. Pemuliharaan bangunan warisan adalah penting kerana selain sebahagian daripada jatidiri kita, ia juga adalah aset warisan and budaya penting bagi generasi akan datang.

Melihat kepada kepentingan ini, dalam usaha ATSA Architects mengangkat seni bina masjid di Malaysia melalui penerbitan sebuah monograf khas, Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Ar. Azim A. Aziz dan Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak telah menemui sebuah masjid lama dan terbiar yang berusia kira-kira 105 tahun di kawasan perkampungan lama di Kampung Teluk Memali, Kampung Gajah, Perak.

Masjid kayu yang kaya dengan nilai warisan dan seni bina Melayu Perak ini semakin rosak dan usang setelah ditinggalkan 40 tahun lalu akibat perpindahan keluar penduduk kampung, malah beberapa elemen bangunan dan aksesorinya turut hilang.

Oleh itu, bagi menyelamatkan nilai warisan dan meneruskan kesinambungan fungsinya sebagai sebuah pusat ibadah, maka ATSA Architects, dengan kerjasama Dato’ (Dr.) Ar. Hj. Baharuddin Abu Kassim dari Jurubena Bertiga International Pertnership dan Politeknik Ungku Omar telah menggerakkan usaha pemuliharaan bangunan masjid ini.

Usaha ini dilakukan menerusi proses pemindahan, pembaikan dan penggunaan semula bangunan masjid ini sebagai sebuah surau di tapak baru di Bandar Seri Botani, Ipoh, Perak. Usaha murni ini mampu direalisasikan setelah mendapat kebenaran penuh daripada para penduduk asal Kampung Teluk Memali, sebagai pemegang amanah wakaf struktur bangunan.